Wednesday, December 26, 2012

Iblis Tewas Di Tangan Orang Yang Berilmu



Ibn Abi-Dunya meriwayatkan daripada Ali bin A’sim daripada sebahagian penduduk Basrah, beliau berkata :
                “Ada seorang yang berilmu mengikat persaudaraan dengan ahli ibadah.
                Syaitan berkata kepada iblis: ‘Aku tidak mampu memisahkan kedua-dua orang ini.’
                Iblis berkata: ‘Serahkan mereka kepada ku.’

Iblis menunggu di jalan yang dilalui oleh ahli ibadah itu. Ketika ahli ibadah itu mendekati, iblis menjelma sebagai seorang lelaki tua yang mempunyai tanda bekas sujud di antara kedua-dua matanya. Iblis berkata kepadanya: ‘Ada sesuatu yang sudah lama ku simpan dan ingin ku tanyakan kepada tuan.’

                Ahli ibdah berkata: ‘Tanyalah. Jika aku dapat menjawab, maka aku akan menjawabnya.’

                Iblis bertanya: ‘Adakah Allah mampu menjadikan langit, bumi, gunung, pepohon dan air dalam satu telur tanpa perlu menambah atau mengurang sedikit pun daripada ukuran ini?’

                Ahli ibdah tersebut terdiam. Lalu, iblis berkata: ‘Pergilah.’

Kemudian, iblis memandang teman-temannya dan berkata: ‘Aku telah mampu merosakkan dan menjadikannya orang ini ragu-ragu terhadap Allah.’

                Selepas itu, iblis duduk di jalan yang biasa dilalui oleh orang yang berilmu. Ketika orang yang berilmu itu mendekati, iblis menghampirinya dan berkata: ‘Sesungguhnya, sudah lama aku memendamkan sesuatu yang aku ingin tanyakan kepada mu.’

                Orang berilmu itu menjawab: ‘Tanyalah. Jika aku boleh menjawab, maka aku akan menjawabnya.’

                Iblis mengulangi pertanyaannya sebagaimana yang ditanya kepada ahli ibadah. Orang berilmu itu menjawab: ‘Ya, boleh.’

                Iblis tidak berpuas hati, lalu bertanya lagi: ‘Tanpa perlu menambah sedikit pun dari ukuran ini?’

‘Ya,’ jawab orang berilmu tersebut. Lalu dia membaca ayat 82 surah Yasin, maksudnya: ‘Sesungguhnya, keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ‘Jadilah engkau!’ Maka ia akan terus berlaku.’

                Iblis berkata kepada teman-temannya: ‘Lebih baik tinggalkan orang seperti ini.’
                

Orang yang berilmu mempunyai iman yang kukuh, ikhlas, berani, dan tegas dalam mempertahankan kebenaran serta amalannya. Berbeza dengan orang yang jahil yang sentiasa berada dalam keraguan, maka mereka mudah diperdayakan oleh syaitan.

[Luqt al-Marjan fi Ahkam al-Jan oleh Imam al-Suyuti]

[Sumber : Majalah Solusi]

No comments: