Wednesday, September 11, 2013

Jangan Pecahkan Jiwamu....Berbahagialah!



Seorang perempuan tua tengah asyik membersihkan ruang tamu rumahnya, dengan usia yang menjangkau tua, tangannya agak mengigil semasa bekerja. Tanpa sengaja dia telah menjatuhkan sebuah pasu bunga yang cantik dan mahal. Pasu itu jatuh dan pecah berserakan. Cuba bayangkan sekiranya hal demikian terjadi pada diri anda atau orang lain, mungkin akan menyusul perasaan menyesal yang mendalam, atau perasaan sedih dan kecewa. Jika benda itu sangat mahal dan merupakan barang kesayangan anda, mungkin anda akan memikirkannya sepanjang hari dan hilang mood untuk melakukan aktiviti lain. Dari masa ke semasa anda menyalahkan diri sendiri kerana bertindak kelam-kabut dan tidak berhati-hati. Bahkan mungkin anda mengutuk diri sendiri kerana kejadian itu.

Sedangkan perempuan tua tadi memang merasa tersentak dengan jatuhnya pasu tersebut. Dia sangat sayang dan mengetahui harganya yang mahal, tetapi bukannya dia sedih malah tertawa. Dia menatap pecahan pasu bunga yang berserakan dilantai itu lalu tersenyum sambil berkata, "Alhamdulillah, ternyata kamu yang meninggalkan saya terlebih dulu, bukan saya yang tinggalkan kamu lebih awal."

Apa yang diucapkannya satu kebenaran yang sederhana. Sangat sederhana, sehingga kita sering melupakannya. Benda yang indah itu memang sudah hancur dan pergi meninggalkan kita, tetapi bukankah kita sendiri masih sihat dan belum meninggal dunia. Mengapa harus sedih berlebihan kerana kehilangan sesuatu benda? Cuba lihat dari sudut pandang yang berbeza kerana itulah ingat baik-baik pengajaran ini. Kalau ada barang anda yang pecah atau rosak, relakan saja. Jangan merasa sedih secara berlebihan. Cukuplah benda itu saja yang pecah, jangan pecahkan jiwa anda sendiri dengan penyesalan yang tidak pada tempatnya.

[Petikan dari buku : BILA ALLAH MENDUGA KITA| Syed Alwi Al Atas]

Monday, January 14, 2013

La' Tahzan : Bagaimana Berdepan Dengan Kritikan





Allah Yang Maha Mencipta  dan Pemberi Rezeki  Yang Maha Mulia, sering mendapat cacian dan cercaan dari orang-orang pandir yang tidak berakal dan tidak tahu diri. Sebab itu anda dan kita semua adalah manusia yang selalu terlanjur dan salah. Dalam hidup ini, terutama jika anda seorang yang sentiasa memberi, mengelokkan, mempengaruhi dan berusaha membina maka anda biasanya menerima kritikan-kritikan yang pedas dan keras. Mungkin pula, sekali-sekala anda akan mendapat cemuhan dan hinaan daripada orang lain.

Mereka tidak akan diam dari mengkritik anda sebelum anda masuk ke dalam tanah, menaiki tangga ke langit, dan berpisah dengan mereka. Sekiranya anda masih berada di tengah-tengah mereka maka akan tetap ada perbuatan mereka yang membuat anda bersedih hati dan menitiskan air mata, atau membuat tempat tidur anda gersang.

Ketahuilah bahawa orang yang duduk di atas tanah tidak akan jatuh, dan manusia tidak akan menendang anjing yang sudah mati. Kalau mereka marah dan kesal kepada anda adalah kerana mungkin anda mengatasi mereka dalam hal kebaikkan, keilmuan, tingkah laku atau harta. Pendek kata, anda pada pandangan mereka adalah orang berdosa dan tidak boleh diampunkan hingga anda melepaskan semua anugerah dan nikmat Allah yang ada pada diri anda, atau hingga anda meninggalkan semua sifat terpuji dan nilai-nilai mulia yang selama ini anda berpegang teguh. Dan jika anda menjadi orang yang bodoh, pandir dan jahil, memang itulah yang mereka inginkan berlaku pada anda.

Sebab itu, berwaspadalah terhadap apa yang mereka katakan; kuatkan jiwa untuk mendengar kritikan, cemuhan dan hinaan mereka. Bersikaplah bagai batu-batan; tetap kukuh berdiri sekalipun diterpa ketulan-ketulan salji tiap-tiap saat dan ia bahkan kukuh kerananya. Dengan gaya lain, jika anda merasa terusik dan terpengaruh dengan kritikan atau cemuhan mereka, maka bermakna anda sudah meluluskan keinginan mereka untuk mengotori dan mencemarkan hidup anda. Padahal yang terbaik adalah menjawab atau membalas kritikan mereka dengan menunjukkan akhlak yang baik. Lupakan sahaja mereka, dan jangan sekali-kali merasa tertekan dengan setiap usaha mereka untuk menjatuhkan anda. Kerana kritikan mereka yang menyakitkan itu pada hakikatnya merupakan pujian dan ungkapan penghormatan untuk anda. Bertambah tinggi darjat dan kedudukan yang anda duduki maka bertambah pedas pula kritikan yang anda terima.

Bagaimanapun, anda sukar untuk mendiamkan mulut mereka dan menahan gerakkan lidah mereka. Yang anda mampu hanyalah mengubur dalam-dalam setiap kritikan mereka, mengetepikan tingkah laku mereka pada anda, dan cukup membalas tiap-tiap perkataan mereka sebagaimana yang disuruh oleh Allah :

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu.’ ” 
[Surah Al-Imran, ayat : 119]

Lebih elok lagi jika anda dapat memasukkan cebisan-cebisan daging ke mulut mereka supaya mereka diam seribu bahasa dengan cara membanyakkan keutamaan, mengelokkan akhlak, dan memperbetulkan tiap-tiap kesalahan anda. Dan jika anda ingin diterima oleh semua pihak, disukai oleh semua orang, dan terhindar dari cela, bermakna anda sudah menyukai sesuatu yang mustahil berlaku dan mengharapkan sesuatu yang terlalu jauh untuk dicapai.


[Sumber dari: Buku La' Tahzan |Dr.'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni]