Allah Yang Maha Mencipta
dan Pemberi Rezeki Yang Maha
Mulia, sering mendapat cacian dan cercaan dari orang-orang pandir yang tidak berakal dan tidak tahu
diri. Sebab itu anda dan kita semua adalah manusia yang selalu terlanjur dan
salah. Dalam hidup ini, terutama jika anda seorang yang sentiasa memberi,
mengelokkan, mempengaruhi dan berusaha membina maka anda biasanya menerima
kritikan-kritikan yang pedas dan keras. Mungkin pula, sekali-sekala anda akan
mendapat cemuhan dan hinaan daripada orang lain.
Mereka tidak akan diam dari mengkritik anda sebelum anda
masuk ke dalam tanah, menaiki tangga ke langit, dan berpisah dengan mereka.
Sekiranya anda masih berada di tengah-tengah mereka maka akan tetap ada
perbuatan mereka yang membuat anda bersedih hati dan menitiskan air mata, atau
membuat tempat tidur anda gersang.
Ketahuilah bahawa orang yang duduk di atas tanah tidak akan
jatuh, dan manusia tidak akan menendang anjing yang sudah mati. Kalau mereka
marah dan kesal kepada anda adalah kerana mungkin anda mengatasi mereka dalam
hal kebaikkan, keilmuan, tingkah laku atau harta. Pendek kata, anda pada
pandangan mereka adalah orang berdosa dan tidak boleh diampunkan hingga anda
melepaskan semua anugerah dan nikmat Allah yang ada pada diri anda, atau hingga
anda meninggalkan semua sifat terpuji dan nilai-nilai mulia yang selama ini
anda berpegang teguh. Dan jika anda menjadi orang yang bodoh, pandir dan jahil,
memang itulah yang mereka inginkan berlaku pada anda.
Sebab itu, berwaspadalah terhadap apa yang mereka katakan;
kuatkan jiwa untuk mendengar kritikan, cemuhan dan hinaan mereka. Bersikaplah
bagai batu-batan; tetap kukuh berdiri sekalipun diterpa ketulan-ketulan salji
tiap-tiap saat dan ia bahkan kukuh kerananya. Dengan gaya lain, jika anda
merasa terusik dan terpengaruh dengan kritikan atau cemuhan mereka, maka
bermakna anda sudah meluluskan keinginan mereka untuk mengotori dan mencemarkan
hidup anda. Padahal yang terbaik adalah menjawab atau membalas kritikan mereka
dengan menunjukkan akhlak yang baik. Lupakan sahaja mereka, dan jangan
sekali-kali merasa tertekan dengan setiap usaha mereka untuk menjatuhkan anda.
Kerana kritikan mereka yang menyakitkan itu pada hakikatnya merupakan pujian
dan ungkapan penghormatan untuk anda. Bertambah tinggi darjat dan kedudukan
yang anda duduki maka bertambah pedas pula kritikan yang anda terima.
Bagaimanapun, anda sukar untuk mendiamkan mulut mereka dan
menahan gerakkan lidah mereka. Yang anda mampu hanyalah mengubur dalam-dalam
setiap kritikan mereka, mengetepikan tingkah laku mereka pada anda, dan cukup
membalas tiap-tiap perkataan mereka sebagaimana yang disuruh oleh Allah :
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Matilah kamu dengan kemarahan
kamu itu.’ ”
[Surah Al-Imran, ayat : 119]
Lebih elok lagi jika anda dapat memasukkan cebisan-cebisan
daging ke mulut mereka supaya mereka diam seribu bahasa dengan cara
membanyakkan keutamaan, mengelokkan akhlak, dan memperbetulkan tiap-tiap
kesalahan anda. Dan jika anda ingin diterima oleh semua pihak, disukai oleh
semua orang, dan terhindar dari cela, bermakna anda sudah menyukai sesuatu yang
mustahil berlaku dan mengharapkan sesuatu yang terlalu jauh untuk dicapai.
[Sumber dari: Buku La' Tahzan |Dr.'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni]