Wednesday, December 26, 2012

Iblis Tewas Di Tangan Orang Yang Berilmu



Ibn Abi-Dunya meriwayatkan daripada Ali bin A’sim daripada sebahagian penduduk Basrah, beliau berkata :
                “Ada seorang yang berilmu mengikat persaudaraan dengan ahli ibadah.
                Syaitan berkata kepada iblis: ‘Aku tidak mampu memisahkan kedua-dua orang ini.’
                Iblis berkata: ‘Serahkan mereka kepada ku.’

Iblis menunggu di jalan yang dilalui oleh ahli ibadah itu. Ketika ahli ibadah itu mendekati, iblis menjelma sebagai seorang lelaki tua yang mempunyai tanda bekas sujud di antara kedua-dua matanya. Iblis berkata kepadanya: ‘Ada sesuatu yang sudah lama ku simpan dan ingin ku tanyakan kepada tuan.’

                Ahli ibdah berkata: ‘Tanyalah. Jika aku dapat menjawab, maka aku akan menjawabnya.’

                Iblis bertanya: ‘Adakah Allah mampu menjadikan langit, bumi, gunung, pepohon dan air dalam satu telur tanpa perlu menambah atau mengurang sedikit pun daripada ukuran ini?’

                Ahli ibdah tersebut terdiam. Lalu, iblis berkata: ‘Pergilah.’

Kemudian, iblis memandang teman-temannya dan berkata: ‘Aku telah mampu merosakkan dan menjadikannya orang ini ragu-ragu terhadap Allah.’

                Selepas itu, iblis duduk di jalan yang biasa dilalui oleh orang yang berilmu. Ketika orang yang berilmu itu mendekati, iblis menghampirinya dan berkata: ‘Sesungguhnya, sudah lama aku memendamkan sesuatu yang aku ingin tanyakan kepada mu.’

                Orang berilmu itu menjawab: ‘Tanyalah. Jika aku boleh menjawab, maka aku akan menjawabnya.’

                Iblis mengulangi pertanyaannya sebagaimana yang ditanya kepada ahli ibadah. Orang berilmu itu menjawab: ‘Ya, boleh.’

                Iblis tidak berpuas hati, lalu bertanya lagi: ‘Tanpa perlu menambah sedikit pun dari ukuran ini?’

‘Ya,’ jawab orang berilmu tersebut. Lalu dia membaca ayat 82 surah Yasin, maksudnya: ‘Sesungguhnya, keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ‘Jadilah engkau!’ Maka ia akan terus berlaku.’

                Iblis berkata kepada teman-temannya: ‘Lebih baik tinggalkan orang seperti ini.’
                

Orang yang berilmu mempunyai iman yang kukuh, ikhlas, berani, dan tegas dalam mempertahankan kebenaran serta amalannya. Berbeza dengan orang yang jahil yang sentiasa berada dalam keraguan, maka mereka mudah diperdayakan oleh syaitan.

[Luqt al-Marjan fi Ahkam al-Jan oleh Imam al-Suyuti]

[Sumber : Majalah Solusi]

Saturday, December 15, 2012

La' Tahzan : Apa Yang Sudah Pergi, Biarkanlah Ia Pergi



Mengingat-ingat masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakkan yang bodoh dan gila. Lebih dari itu, ia boleh mematikan kehendak dan membinasakan masa depan.

            Bagi orang-orang yang waras, fail masa lalu itu sepatutnya dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dan dipersoalkan. Ia perlu ditutup buat selama-lamanya dan dikurung di dalam penjara kelupaan, diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat keluar. Ianya perlu diperap sedemikian rupa supaya ia tidak terkena cahaya, sebab ia adalah sesuatu yang sudah berlalu dan sudah selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa juga kesedihan, tidak dapat diubah dan diperbaiki dengan apa juga kedukaan, tidak dapat dihadirkan semula dengan apa juga kegelisahan, dan tidak akan dapat dihidupkan semula dengan apa juga kebingungan – ia adalah sesuatu yang sudah tiada.

            Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu sentiasa dibayang-bayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu. Lepaskanlah dirimu dari pengaruh dan bayangan masa lampau. Adakah anda mahu mengembalikan sungai  kepada sumber mata airnya? Memulangkan matahari kepada tempat terbitnya? Mengembalikan kanak-kanak ke dalam rahim ibunya? Air susu kepada puting susu haiwan? Dan, air mata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dengan apinya. Kembali ke pangkuan masa lalu sama sahaja dengan meletakkan anda dalam kemelut dan tragedi yang sangat dasyat dan menakutkan.

            Hidup sambil mengungkit-ungkit masa lalu bermakna menyia-menyiakan masa sekarang, mengoyak-ngoyak perjuangan, dan memporak-perandakan masa kini. Allah SWT sudah menceritakan tentang umat-umat yang lampau dan apa yang sudah mereka lakukan. “Yang demikian itu adalah satu umat yang sudah berlalu.” Segala sesuatunya sudah selesai bagi mereka. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan memanjangkan cerita perjalanan masa kerana ia sama sahaja dengan memutar semula perjalanan sejarah.

            Sesungguhnya orang yang kembali pada masa lalu sama dengan orang yang menggiling tepung atau orang yang mengergaji dedak kayu tetapi dirinya sendiri turut tergilas sama. Malangnya, kita tidak mahu dan berusaha menangani masa kini, sebaliknya kita sibuk memikirkan masa lalu kita. Kita menyia-nyiakan istana-istana kita yang megah, sebaliknya kita pula sibuk menguruskan keruntuhan bangunan lama. Sekiranya manusia dan jin bekerjasama dan bertungkus lumus untuk mengembalikan masa lalu itu, nescaya mereka tidak akan berjaya, sebab pada dasarnya ia adalah mustahil.

            Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang, sebab hembusan angin sentiasa menghala ke depan, air mengalir pun menuju ke depan, kafilah berjalan pun ke arah depan. Justeru, janganlah cuba menentang arus dan aturan hidup, sunnah dan alam.

“Terimalah apa yang Aku kurniakan kepada mu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur.” [ Surah Al-A’raf, ayat : 144]


[Sumber dari: Buku La' Tahzan |Dr.'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni]


La' Tahzan : Kelembutan Memudahkan Beroleh Hajat

Sikap berlemah lembut dan berhati-hati lebih selamat dan menguntungkan




Terdapat sejumlah basar athar dan nas-nas yang memperkatakan tentang pentingnya sikap lemah lembut. Kelembutan adalah penolong yang tidak pernah menolak  jika diminta sesuatu darinya. Dan sepatutnya anda ketahui bahawa jalan sempit antara dua tembok yang hanya boleh dimasukki oleh satu kereta dengan kelajuan yang maksima. Untuk melaluinya, seorang pemandu sepatutnya memandu keretanya dengan hati-hati dan pelan-pelan. Jika dia memandu keretanya dengan laju pastilah dia akan terhempas ke kiri dan ke kanan, dan akhirnya kereta itu rosak.

            Sama dengan pohon kecil yang kita tanam di halaman rumah. Jika anda menyiraminya sedikit demi sedikit maka air itu akan diserap oleh tumbuhan itu dan menyegarkannya. Tetapi, walaupun dengan ukuran air yang sama dan anda semburkan kepada pohon yang baru ditanam itu sekaligus maka tanaman itu akan tercabut. Jumlah airnya sama tetapi caranya yang berbeza.

            Sikap terburu-buru dan membuta tuli dalam melakukan sesuatu akan mendorong kea rah bahaya dan melenyapkan manfaat. Sebab kebaikkan itu ditegakkan di atas kelemah lembutan : “Tidaklah kelembutan itu ada dalam sesuatu kecuali dia akan menghiasinya, dan tidaklah kekasaran itu ada pada sesuatu kecuali dia akan mencemarkannya.”


[Sumber Dari : Buku La' Tahzan |Dr.'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni]


Sunday, December 2, 2012

Adab Bersembang



Sesungguhnya Islam agama yang indah. Setiap perkara mempunyai adab dan aturannya yang tersendiri. Semuanya diajarkan Nabi SAW sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti masuk dan keluar tandas.
Pernah terjadi beberapa orang Musyrikin mengejek Salman al-Farisyi r.a., kata mereka,
"Nabi kamu mengajarkan semua benda sehingga perkara berkaitan istinjak. Kata Salman, "Memang benar! Nabi kami menegah daripada membuang air besar atau kecil dalam keadaan menghadap kiblat, beristinjak menggunakan tangan kanan, beristinjak kurang daripada tiga biji batu." [Hadis Riwayat Muslim]
Antara adab yang selalu dipandang ringan oleh umat Islam adalah adab bersembang. Apakah perbualan atau cara kita bersembang setiap hari menepati tuntutan Islam?
1. Suara yang rendah dan lembut.
Menurut Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah, meninggikan suara terhadap seseorang itu menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Seeloknya kita bercakap dengan kadar yang sederhana, sebagaimana yang kita inginkan apabila mendengar daripada seseorang.
Adab ini perlu diamalkan sama ada ketika bersama sahabat mahupun musuh, orang yang dikenali mahupun tidak, orang kecil mahupun dewasa. Lebih- lebih lagi ketika bersama kedua-dua orang tua dan orang yang setaraf dengan mereka.
Menurut Abdullah bin Zubair r.a., selepas turunnya ayat ke-2 surah al-Hujurat iaitu "Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi".  Sayidina Umar r.a. terus berubah sikapnya. Sekiranya bercakap dengan Nabi, dia akan bercakap seperti orang berbisik-bisik sehingga terpaksa disuruh ulang beberapa kali kerana tidak dapat difahami .

Imam Zahabi menyebut, "Jikalau orang tidak mengenali siapa Muhammad bin Sirin (ulama Tabi'in), mereka akan menyangka dia seorang yang sakit kerana terlalu rendah suaranya apabila bercakap dengan ibunya." Lihatlah, betapa beradabnya golongan salaf dalam berkata-kata.


2. Tidak menunjuk pandai.
Antara adab bersembang juga, kita tidak memalukan sahabat kita dengan menzahirkan kepada mereka apa yang kita ketahui sedangkan mereka tidak memahaminya. Sabda nabi SAW:
“Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka.”
[Hadis Riwayat Muslim]
Contohnya jikalau kita seorang pakar ekonomi dan berhadapan dengan seorang petani kampung, elakkan bercakap tentang kerja kita yang jauh di luar bidang mereka serta sukar difahami dengan mudah. Sebaik-baiknya, tunjukkanlah perhatian kepada mereka dan lebihkan mendengar daripada berkata-kata.
Seorang Tabi'in yang terkenal iaitu Imam Ata' bin Abi Rabah berkata, "Seorang pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi."
Khalid bin Safwan berkata, "Jikalau seseorang bercerita dan aku telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah mengetahuinya."
Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah diketahui.

3. Biarkan mereka menghabiskan ucapan.
Sekiranya kita musykil tentang sesuatu yang diperkatakan, hendaklah bersabar sehingga seseorang menghabiskan ucapannya. Kemudian, soallah dengan adab dan berhemah. Jangan memotong di tengah-tengah percakapan. Ia akan menghilangkan adab serta menimbulkan rasa tidak senang orang yang sedang bercakap. Melainkan ketika dalam kelas pengajian, kita boleh bertanya dan berbincang sekiranya guru mengizinkan.
Menurut Ibrahim bin al-Junaid, "Belajarlah cara mendengar yang baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara ciri pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu ketahui."

Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.
Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan ulama-ulama Islam. Kata pepatah Arab, "Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus."

Rujukan: Kitab Min Adabil Islam, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah
SUMBER:  iluvislam.com