Thursday, September 27, 2012

Peluang Melakukan Kebaikan


Muaz bin Jabal melaporkan, "Saya pernah berkata kepada Nabi Muhammad SAW, 'Wahai Rasulullah, terangkanlah kepada saya amalan yang membolehkan saya masuk syurga dan menjauhkan saya daripada api neraka.'

Nabi Muhammad SAW menjawab, 'Saudara bertanyakan suatu perkara besar. Namun ia ringan dilakukan bagi orang yang diringankan oleh Allah yang Maha Agung lagi Maha Besar. Perkara itu adalah saudara sembah Allah, jangan menyekutukan Allah dengan apa-apa sekalipun. Saudara dirikan sembahyang, bayar zakat, puasa pada bulan Ramadhan, dan lakukan ibadat haji di Kaabah.'

Kemudian Nabi Muhammad SAW berkata lagi, 'Mahukah saudara jika saya tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai, sedekah dapat menghapuskan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api, serta sembahyang pada pertengahan malam.'

Kemudian Nabi Muhammad SAW membaca ayat Quran, 'Lalu mereka meninggalkan tempat tidur mereka.....' sehingga bacaan beliau sampai kepada '...sebagai balasan bagi apa yang mereka kerjakan.' (Surah Al-Sajdah, ayat: 16)

Kemudian Nabi Muhammad SAW berkata lagi, 'Mahukah saudara jika saya terangkan apa yang menjadi kepala sesuatu pekerjaan, tiangnya dan puncaknya?'

Saya (Muaz) menjawab, 'Mahu, wahai Rasulullah.'

Nabi Muhammad SAW menjawab, 'Asas pekerjaan adalah Islam, tiangnya adalah sembahyang, dan puncaknya adalah jihad.'

Kemudian Nabi Muhammad SAW berkata lagi, 'Mahukah kamu jika saya terangkan apa yang menguasai itu semua?'

'Mahu, wahai Rasulullah,' jawab saya.

Nabi Muhammad SAW menunjukkan lidahnya lalu berkata, 'Jagalah yang ini.'

Saya bertanya, 'Wahai Nabi Allah, apakah kami akan diseksa atas segala yang kami ucapkan?'

Kata Nabi Muhammad SAW, 'Muaz! Bukankah manusia dicampakkan ke dalam neraka akibat perkara-perkara yang mereka ucapkan?' "


[Hadis direkodkan oleh Tirmizi dan beliau berkata,"Hadis ini hadis hasan sahih."]

Sumber dari : Buku 'Paksi 40 Imam Nawawi' terjemahan dari buku Al-Arba'in An-Nawawi 


Tuesday, September 25, 2012

Jangan Berdukacita Jika Jasa Anda Tidak Dihargai, Kerana Anda Hanya Mengharapkan Balasan Allah!


Berniatlah bahawa apa juga amal perbuatan yang dilakukan maka ianya kerana Allah semata-mata dan jangan sekali-kali mengharap ucapan 'terima kasih' dari orang lain. Jangan sekali-kali resah dan susah hati kerana kebaikan anda kepada orang lain ternyata dibalas dengan perbuatan keji, atau ketika tangan putih anda hulurkan dibalas  dengan tamparan yang menyakitkan. Bagaimanapun, apa yang anda cari semestinya hanya pahala kebaikan dari Allah SWT.

Adapun tentang para wali-Nya, Allah berfirman, ertinya:

"Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharap limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharap keredhaan-Nya." 
 [Surah Al-Fath: 29]

Tentang para nabi-Nya:

"Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini." [Surah Shad: 86]

"Katakanlah (wahai Muhammad): ' Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu."  [Surah Saba': 27]

"Sedang ia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang patut dibalas"   
[Surah Al-Lail: 19]

"(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): 'Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak hendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih'."  [Surah Al-Insan: 9]


Seorang pujangga bermadah:

"Orang yang berbuat baik tidak akan lenyap pahalanya dan tidak akan sia-sia kebaikannya di sisi Allah dan manusia."

Lakukanlah kebaikan itu semata-mata kerana Yang Maha Esa, sebab hanya Dialah yang akan memberi anugerah. Allah lah yang akan menjatuhkan hukuman, membalas tiap-tiap amal, dan Dia yang akan meredhai dan juga murka. Maha suci dan Maha Tinggi Allah.

Apabila diketahui bahawa para sahabat ramai yang terbunuh sebagai syuhada di kota Kandahar, Umar berkata kepada para sahabat yang masih hidup: "Siapa sahaja yang terbunuh?" Maka disebutkanlah sejumlah nama. "Dan masih banyak lagi yang engkau tidak kenal," jawab para sahabat itu. Maka tiba-tiba Umar menitiskan air mata, dan seketika itu ia menimpali: "Tetapi Allah mengetahui mereka."

Menurut satu kisah, ada seorang soleh memberi sepinggan makanan kepada orang buta. Konon, ketika mengetahui akan hal itu, keluarga orang soleh itu berkata: "Bukankah orang buta itu tidak tahu apa yang dimakannya." Orang soleh itu menjawab: "Tetapi, bukankah Allah mengetahuinya?"

Selagi Allah masih melihat dan mengetahui kebaikan yang anda lakukan, serta mengetahui keutamaan yang anda hulurkan maka janganlah mengharap pujian dari orang lain.


[Di petik dari buku :  'La' Tahzan - Jangan Bersedih' | Dr.'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni]

P/s: Tidak di 'edit'. Harap Maklum.


Monday, September 24, 2012

ANALOGI MANUSIA LUPA DIRI



TINGG!

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu, tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.

TINGG!

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan disekelilingnya. Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya. Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya.

"Rezeki aku!"  kata lelaki itu dalam hati.

Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu.

Sebenarnya , ketuanya mahu memanggilnya. Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu. Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah. Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dek kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan, dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.

Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas. Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah. Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu, lelaki itu mendongak ke atas, melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi. Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.

P/s : Sahabat sekalian, kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta.

Tanpa sedar, Allah sering menjatuhkan 'syiling' lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita.

Tuhan menjatuhkan 'syiling' itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya.

Tetapi, kita acap kali lalai untuk 'mendongak' ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.

Seperti kisah ketua dan pekerja tadi, apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula 'batu' yg berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yg menyakitkan.

Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu, barulah kita teringat untuk mendongak, menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.

[Sumber artikel dari : FB_ Serban Love Purdah]