TINGG!
Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan disekelilingnya. Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya. Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya.
"Rezeki aku!" kata lelaki itu dalam hati.
Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu.
Sebenarnya , ketuanya mahu memanggilnya. Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu. Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah. Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dek kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan, dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.
Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas. Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah. Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu, lelaki itu mendongak ke atas, melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi. Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.
P/s : Sahabat sekalian, kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta.
Tanpa sedar, Allah sering menjatuhkan 'syiling' lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita.
Tuhan menjatuhkan 'syiling' itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya.
Tetapi, kita acap kali lalai untuk 'mendongak' ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.
Seperti kisah ketua dan pekerja tadi, apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula 'batu' yg berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yg menyakitkan.
Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu, barulah kita teringat untuk mendongak, menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.
No comments:
Post a Comment