Sunday, October 21, 2012

Berhubunglah dengan-Nya....



Berdoa adalah waktu khusus anda berdialog dengan Allah SWT. Anda harus berada dalam keadaan suci dan duduk sopan jika boleh. Kemudian anda harus memulakan doa dengan lembut dan menyebutkan nama-nama baik-Nya. Anda adalah hamba Allah yang sedang mengadap majikan nya. Tunjukkanlah sikap penghambaan anda kepada-Nya! Ketika anda berbicara dan mengharapkan perhatian daripada khayalak untuk memberi tumpuan kepada anda, maka pasti anda akan memulakannya dengan: "Yang saya hormati, tuan A, tuan B dan seterusnya." Lantas wajarkah anda berdoa kepada Allah SWT dengan kadar cepat dan mirip dikejar sesuatu?





Memanggil Allah SWT atau berdoa bukanlah sekadar aktiviti lisan dengan membawa daftar keinginan seperti orang yang mahu pergi ke pasaraya. Tapi berdoa mesti dimulakan dengan kesedaran yang datang dari fikiran anda bahawa saat itu, anda sedang menatapi wajah dengan Raja Yang Maha Pengasih. Dia adalah Pemilik sesuatu yang tak ada sesuatu pun yang luput dari kuasa-Nya. 

Allah SWT adalah Sang Pencipta. Anda diciptakan oleh-Nya. Dia adalah majikan anda dan anda adalah hamba-Nya. Berdoa bukan aktiviti nyata seperti yang simboliknya dengan menadah tangan anda ke langit lalu terkumat-kamit berdoa seperti keretapi ekspres, seolah-olah anda sedang membaca mentera. Doa yang diucapkan juga sering terdengar seperti rakaman kaset yang dicepatkan. Sekarang, bayangkan saja jika ada seorang pengemis yang datang ke hadapan anda lalu menadah tangan dan mengatakan, "Cik minta cik," tapi dengan suara yang pantas seperti 60 kilometer per jam. Hal seperti ini bukan hanya tidak sopan, tetapi menurut saya sudah tidak rasional!




Berdoa adalah memanggil Allah SWT. Saat berdoa, bererti anda ingin mencurahkan fikiran dan perasaan anda tentang kehidupan ini kepada-Nya. Doa boleh menjadi ucapan rasa syukur, rindu, takut, cinta, kesepian, permintaan, mengadu dan sebagainya. Inti doa adalah anda ingin berhubungan dengan Allah SWT. Apabila anda ingin berhubungan dengan seseorang, anda harus mengenal orang tersebut. Tanpa adanya perkenalan, satu hubungan harmoni, akan sukar terjalin.

Betapa kita sering berdoa, tapi tidak meyakininya. Padahal yang kita perlukan hanya sebutir keyakinan sahaja. Itu sudah cukup!





Jika doa dimakbulkan sebegitu cepat, lantas dimanakah permohonan-permohonan itu berada? Ketahuilah bahawa saat anda masih berdoa, maka semua doa anda sebenarnya sudah lansung muncul di alam ghaib dan sedang menuju ke tempat anda. Setiap kali anda berdoa kepada Allah SWT, maka doa itu sedang muncul di alam ghaib. Semudah itulah doa anda dimakbulkan Yang Maha Kuasa dan inilah antara sebab dalam Islam anda harus beriman kepada yang ghaib.





Ketika anda memesan sebuah kenderaan, pihak penjual mungkin berkata, "Maaf, anda harus menunggu sehingga tiga atau enam bulan kerana kehabisan stok." Lalu tanpa ragu, anda membayar wang cagaran kepada penjual. Sedangkan anda akan menerima kenderaan tersebut selepas tiga atau enam bulan lagi? Percayakah anda kepada penjual tersebut? Saya yakin anda percaya dengan hanya perjanjian yang dibuat dan anda pulang dengan tenang. 

Kemudian anda bercerita kepada keluarga dan teman-teman bahawa anda sudah pun memiliki sebuah kenderaan, sedangkan ia hanya akan menjadi milik anda selepas tiga atau enam bulan. Anda juga tidak pernah merungut kerana harus menunggu. Anda tahu kerana apa? Kerana anda sudah berasa YAKIN dengan perjanjian yang hanya dimeterai melalui sekeping kertas itu sahaja!

Akan tetapi pernahkah anda terfikir tentang kemungkinan lain? Misalnya alien datang menakluk bumi? Bagaimana kalau terjadi gempa bumi pada kekuatan skala 9 Ritcher yang mampu meranapkan kenderaan tersebut? Bagaimana juga kalau negara anda berperang dengan negara pengeluar kenderaan tersebut? Atau syarikat automobil tersebut bangkrap? Pernahkah anda terfikirkan tentang semua risiko diatas? 

Jika tidak, sekarang tanya kepada diri anda sendiri :



Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina."
[Surah Ghafir/Al-Mukmin, 40 :60]



[Perkongsian ilmu yang disalin semula -tanpa diolah- dari buku: Al-Quran, Rahsia Terunggul -Rahsia Kebahagiaan Sejati | Ali Ahmad Maleya]

Wednesday, October 17, 2012

BENTUK-BENTUK SYAFAAT NABI S.A.W

Bentuk syafaat PERTAMA (dan terbesar) :

Adalah syafaat yang melepaskan seluruh makhluk daripada seksaan zahir dan batin sementara menunggu bermula proses perhitungan (hisab). Iaitu apabila seluruh makhluk, termasuk para nabi dan rasul, tidak ada yang berani meminta agar Allah S.W.T memulakan hisab. Akhirnya, Rasulullah S.A.W. mendatangi Arasy, lalu bersujud memuji Allah S.W.T dengan pelbagai pujian yang sangat indah. Allah lalu berkenan mengabulkan permintaan Baginda untuk memulakan hisab.

Dalam Sahih al-Bukhari daripada Ibn Umar katanya: “Pada hari kiamat nanti, seluruh manusia berlutut. Setiap  umat datang kepada nabinya dan berkata: ‘Wahai tuan, berikanlah syafaat.’ Mereka terus mendatangi satu persatu nabi sehingga berakhir kepada Muhammad S.A.W..  Maka pada hari itulah Allah menempatkan Baginda S.A.W. di maqam yang terpuji (al-Maqam al-Mahmud).”

Bentuk syafaat KEDUA :

Ialah syafaat Rasulullah S.A.W. untuk orang yang pahala mereka sama berat dengan dosa mereka, maka mereka diperkenankan untuk masuk syurga.

Bentuk syafaat KETIGA :

Ialah syafaat Baginda untuk orang yang telah diperintahkan untuk masuk neraka, agar dibatalkan perintah itu. Kedua-dua bentuk syafaat ini terdapat dalam sebuah hadis riwayat al-Hafiz Ibn Abi Dunya dalam kitab al-Ahwal daripada Ibn Abbas, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Pada hari kiamat, Allah meletakkan mimbar daripada emas untuk para nabi, mereka lalu duduk di atasnya. Tempat dudukku tetap kosong, tidak aku tempati. Sebab aku terus berdiri di hadapan Allah S.W.T untuk membela umatku. Aku sangat takut diperintahkan masuk ke syurga dan meninggalkan mereka di belakangku.
            “Aku berkata : ‘Ya Tuhan, umatku, umatku.’ Allah berfirman : ‘Wahai Muhammad, apa yang engkau ingin agar Aku lakukan bagi umatmu?’ Baginda menjawab : ‘Percepatkan hisab mereka.’
            “Umatku lalu dipanggil untuk menjalani hisab. Sebahagian mereka masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah, dan sebahagian yang lain masuk syurga dengan syafaat ku. Aku terus memberikan syafaat sehingga diserahkan kepadaku lembaran nama-nama orang yang ditetapkan masuk neraka. Malaikat Malik, penjaga neraka, berkata kepadaku : ‘Wahai Muhammad, engkau tidak meninggalkan sedikit pun kemurkaan Tuhanmu menyentuh umatmu!’”

Bentuk syafaat KEEMPAT :

Syafaat Baginda untuk meninggikan darjat ahli syurga meskipun amalan mereka tidak mencukupi untuk memperoleh darjat tersebut. Dalil syafaat ini adalah hadis Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari. Bapa saudara Abu Musa yang bernama Abu ‘Amir dalam peperangan Awtas. Apabila Rasulullah S.W.T mendengar berita kematiannya, Baginda berwuduk lalu berdoa sambil mengangkat kedua-dua tangannya : “Ya Allah, ampunilah Abu ‘Amir. Dan tinggikanlah kedudukannya pada hari kiamat nanti atas kebanyakkan makhluk-Mu.”

Bentuk syafaat KELIMA :

Iaitu syafaat Baginda untuk memasukkan orang tertentu ke dalam syurga tanpa hisab. Dalam Musnad Imam Ahmad, Abu Hurairah meriwayatkan sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : “Aku meminta kepada Allah, lalu Allah berjanji akan memasukkan 70 ribu umatku ke dalam syurga tanpa hisab. Wajah mereka seperti bulan purnama. Aku meminta agar ditambahkan bilangan ini, maka Allah menambahkan bersama setiap seribu orang, 70 ribu orang.”

Bentuk syafaat KEENAM :

Iaitu syafaat Baginda untuk meringankan seksaan yang diterima Abu Talib di dalam neraka. Beliau adalah bapa saudara Nabi S.A.W. yang gigih membela Baginda, namun meninggal dunia tanpa mengucapkan syahadat. Beliau wafat dalam keadaan memegang agama Abdul Muttalib, iaitu agama jahiliah. Kisah kematian Abu Talib ini terdapat dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim.

            Untuk menghargai  jasa-jasanya kepada Rasulullah S.A.W., Baginda berdoa agar beliau dijadikan ahli neraka yang paling ringan seksaannya. Abu Said al-Khudri meriwayatkan sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : “Mudah-mudahan syafaat ku akan berguna untuk Abu Talib pada hari kiamat. Ia akan diletakkan pada api setinggi kakinya, lalu otaknya mendidih kerana panasnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bentuk syafaat KETUJUH :

Iaitu syafaat Baginda untuk memasukkan seluruh ahli syurga ke dalam syurga. Syafaat ini disebut  dalam sebuah hadis panjang yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam kitab al-Mutawalat  daripada Abu Hurairah. Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Maka apabila ahli syurga mendatangi syurga, mereka tertanya-tanya : ‘Siapakah yang akan memberikan syafaat agar kita diperkenankan masuk syurga?’ Mereka lalu datang kepada Muhammad S.A.W., Baginda lalu sujud kepada Allah S.W.T.
            “Allah bertanya : ‘Apa yang engkau inginkan?’ Baginda menjawab : ‘Engkau menjanjikan aku syafaat. Maka terimalah syafaatku untuk memperkenankan ahli syurga memasuki syurga.’ Allah menjawab : ‘Aku perkenankan syafaat mu, dan Aku izinkan mereka memasuki syurga.’”

Bentuk syafaat KELAPAN :

Iaitu syafaat Baginda untuk mengeluarkan para pelaku dosa besar dari neraka. Hadis-hadis berkaitan dengan bentuk syafaat ini sangat banyak dan mencapai darjat mutawatir. Satu persatu umat Rasulullah S.A.W. dikeluarkan daripada neraka sesuai dengan kadar tauhid yang terdapat dalam hati mereka. Semakin besar keimanan mereka, semakin cepat mereka dikeluarkan.

            Dan orang yang terakhir keluar ialah orang yang hanya memiliki iman hanya sebesar biji sawi sahaja. Mereka adalah orang yang terlalu banyak melakukan dosa besar walaupun status mereka adalah Muslim. Berkenaan dengan syafaat ini, Abu Daud dan al-Tirmizi meriwayatkan daripada Anas bin Malik, sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : “Syafaatku disiapkan untuk pelaku dosa-dosa besar daripada umatku.”




[SUMBER RUJUKAN: Majalah SOLUSI Isu.26 –Umar M Noor]

Bersabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : “Orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”
(Riwayat al-Tirmidzi daripada Ibn Mas’ud)

Wallahu a’lam~