Bentuk syafaat PERTAMA
(dan terbesar) :
Adalah syafaat yang melepaskan seluruh makhluk daripada
seksaan zahir dan batin sementara menunggu bermula proses perhitungan (hisab).
Iaitu apabila seluruh makhluk, termasuk para nabi dan rasul, tidak ada yang
berani meminta agar Allah S.W.T memulakan hisab. Akhirnya, Rasulullah S.A.W.
mendatangi Arasy, lalu bersujud memuji Allah S.W.T dengan pelbagai pujian yang
sangat indah. Allah lalu berkenan mengabulkan permintaan Baginda untuk
memulakan hisab.
Dalam Sahih al-Bukhari daripada Ibn Umar katanya: “Pada hari
kiamat nanti, seluruh manusia berlutut. Setiap
umat datang kepada nabinya dan berkata: ‘Wahai tuan, berikanlah
syafaat.’ Mereka terus mendatangi satu persatu nabi sehingga berakhir kepada
Muhammad S.A.W.. Maka pada hari itulah
Allah menempatkan Baginda S.A.W. di maqam yang terpuji (al-Maqam al-Mahmud).”
Bentuk syafaat KEDUA :
Ialah syafaat Rasulullah S.A.W. untuk orang yang pahala
mereka sama berat dengan dosa mereka, maka mereka diperkenankan untuk masuk
syurga.
Bentuk syafaat KETIGA
:
Ialah syafaat Baginda untuk orang yang telah diperintahkan
untuk masuk neraka, agar dibatalkan perintah itu. Kedua-dua bentuk syafaat ini
terdapat dalam sebuah hadis riwayat al-Hafiz Ibn Abi Dunya dalam kitab al-Ahwal daripada Ibn Abbas, Rasulullah S.A.W.
bersabda yang bermaksud : “Pada hari kiamat, Allah meletakkan mimbar daripada
emas untuk para nabi, mereka lalu duduk di atasnya. Tempat dudukku tetap
kosong, tidak aku tempati. Sebab aku terus berdiri di hadapan Allah S.W.T untuk
membela umatku. Aku sangat takut diperintahkan masuk ke syurga dan meninggalkan
mereka di belakangku.
“Aku berkata
: ‘Ya Tuhan, umatku, umatku.’ Allah berfirman : ‘Wahai Muhammad, apa yang
engkau ingin agar Aku lakukan bagi umatmu?’ Baginda menjawab : ‘Percepatkan
hisab mereka.’
“Umatku lalu
dipanggil untuk menjalani hisab. Sebahagian mereka masuk ke dalam syurga dengan
rahmat Allah, dan sebahagian yang lain masuk syurga dengan syafaat ku. Aku
terus memberikan syafaat sehingga diserahkan kepadaku lembaran nama-nama orang
yang ditetapkan masuk neraka. Malaikat Malik, penjaga neraka, berkata kepadaku
: ‘Wahai Muhammad, engkau tidak meninggalkan sedikit pun kemurkaan Tuhanmu
menyentuh umatmu!’”
Bentuk syafaat KEEMPAT
:
Syafaat Baginda untuk meninggikan darjat ahli syurga meskipun
amalan mereka tidak mencukupi untuk memperoleh darjat tersebut. Dalil syafaat
ini adalah hadis Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari. Bapa saudara Abu Musa
yang bernama Abu ‘Amir dalam peperangan Awtas. Apabila Rasulullah S.W.T
mendengar berita kematiannya, Baginda berwuduk lalu berdoa sambil mengangkat
kedua-dua tangannya : “Ya Allah, ampunilah Abu ‘Amir. Dan tinggikanlah
kedudukannya pada hari kiamat nanti atas kebanyakkan makhluk-Mu.”
Bentuk syafaat KELIMA
:
Iaitu syafaat Baginda untuk memasukkan orang tertentu ke
dalam syurga tanpa hisab. Dalam Musnad
Imam Ahmad, Abu Hurairah meriwayatkan sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
“Aku meminta kepada Allah, lalu Allah berjanji akan memasukkan 70 ribu umatku
ke dalam syurga tanpa hisab. Wajah mereka seperti bulan purnama. Aku meminta
agar ditambahkan bilangan ini, maka Allah menambahkan bersama setiap seribu
orang, 70 ribu orang.”
Bentuk syafaat KEENAM
:
Iaitu syafaat Baginda untuk meringankan seksaan yang diterima
Abu Talib di dalam neraka. Beliau adalah bapa saudara Nabi S.A.W. yang gigih
membela Baginda, namun meninggal dunia tanpa mengucapkan syahadat. Beliau wafat
dalam keadaan memegang agama Abdul Muttalib, iaitu agama jahiliah. Kisah
kematian Abu Talib ini terdapat dalam Sahih
Al-Bukhari dan Muslim.
Untuk
menghargai jasa-jasanya kepada Rasulullah
S.A.W., Baginda berdoa agar beliau dijadikan ahli neraka yang paling ringan
seksaannya. Abu Said al-Khudri meriwayatkan sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
“Mudah-mudahan syafaat ku akan berguna untuk Abu Talib pada hari kiamat. Ia
akan diletakkan pada api setinggi kakinya, lalu otaknya mendidih kerana
panasnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bentuk syafaat KETUJUH
:
Iaitu syafaat Baginda untuk memasukkan seluruh ahli syurga ke
dalam syurga. Syafaat ini disebut dalam
sebuah hadis panjang yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam kitab al-Mutawalat daripada Abu Hurairah. Nabi S.A.W. bersabda
yang bermaksud : “Maka apabila ahli syurga mendatangi syurga, mereka
tertanya-tanya : ‘Siapakah yang akan memberikan syafaat agar kita diperkenankan
masuk syurga?’ Mereka lalu datang kepada Muhammad S.A.W., Baginda lalu sujud
kepada Allah S.W.T.
“Allah
bertanya : ‘Apa yang engkau inginkan?’ Baginda menjawab : ‘Engkau menjanjikan
aku syafaat. Maka terimalah syafaatku untuk memperkenankan ahli syurga memasuki
syurga.’ Allah menjawab : ‘Aku perkenankan syafaat mu, dan Aku izinkan mereka
memasuki syurga.’”
Bentuk syafaat KELAPAN
:
Iaitu syafaat Baginda untuk mengeluarkan para pelaku dosa
besar dari neraka. Hadis-hadis berkaitan dengan bentuk syafaat ini sangat
banyak dan mencapai darjat mutawatir. Satu persatu umat Rasulullah S.A.W.
dikeluarkan daripada neraka sesuai dengan kadar tauhid yang terdapat dalam hati
mereka. Semakin besar keimanan mereka, semakin cepat mereka dikeluarkan.
Dan orang
yang terakhir keluar ialah orang yang hanya memiliki iman hanya sebesar biji sawi sahaja. Mereka adalah orang yang terlalu banyak melakukan dosa besar walaupun
status mereka adalah Muslim. Berkenaan dengan syafaat ini, Abu Daud dan
al-Tirmizi meriwayatkan daripada Anas bin Malik, sabda Nabi S.A.W. yang
bermaksud : “Syafaatku disiapkan untuk pelaku dosa-dosa besar daripada umatku.”
[SUMBER RUJUKAN: Majalah SOLUSI Isu.26 –Umar M Noor]
Bersabda Rasulullah S.A.W.
yang bermaksud : “Orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat nanti
adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”
(Riwayat
al-Tirmidzi daripada Ibn Mas’ud)
Wallahu a’lam~

No comments:
Post a Comment