Tuesday, September 25, 2012

Jangan Berdukacita Jika Jasa Anda Tidak Dihargai, Kerana Anda Hanya Mengharapkan Balasan Allah!


Berniatlah bahawa apa juga amal perbuatan yang dilakukan maka ianya kerana Allah semata-mata dan jangan sekali-kali mengharap ucapan 'terima kasih' dari orang lain. Jangan sekali-kali resah dan susah hati kerana kebaikan anda kepada orang lain ternyata dibalas dengan perbuatan keji, atau ketika tangan putih anda hulurkan dibalas  dengan tamparan yang menyakitkan. Bagaimanapun, apa yang anda cari semestinya hanya pahala kebaikan dari Allah SWT.

Adapun tentang para wali-Nya, Allah berfirman, ertinya:

"Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharap limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharap keredhaan-Nya." 
 [Surah Al-Fath: 29]

Tentang para nabi-Nya:

"Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini." [Surah Shad: 86]

"Katakanlah (wahai Muhammad): ' Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu."  [Surah Saba': 27]

"Sedang ia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang patut dibalas"   
[Surah Al-Lail: 19]

"(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): 'Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak hendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih'."  [Surah Al-Insan: 9]


Seorang pujangga bermadah:

"Orang yang berbuat baik tidak akan lenyap pahalanya dan tidak akan sia-sia kebaikannya di sisi Allah dan manusia."

Lakukanlah kebaikan itu semata-mata kerana Yang Maha Esa, sebab hanya Dialah yang akan memberi anugerah. Allah lah yang akan menjatuhkan hukuman, membalas tiap-tiap amal, dan Dia yang akan meredhai dan juga murka. Maha suci dan Maha Tinggi Allah.

Apabila diketahui bahawa para sahabat ramai yang terbunuh sebagai syuhada di kota Kandahar, Umar berkata kepada para sahabat yang masih hidup: "Siapa sahaja yang terbunuh?" Maka disebutkanlah sejumlah nama. "Dan masih banyak lagi yang engkau tidak kenal," jawab para sahabat itu. Maka tiba-tiba Umar menitiskan air mata, dan seketika itu ia menimpali: "Tetapi Allah mengetahui mereka."

Menurut satu kisah, ada seorang soleh memberi sepinggan makanan kepada orang buta. Konon, ketika mengetahui akan hal itu, keluarga orang soleh itu berkata: "Bukankah orang buta itu tidak tahu apa yang dimakannya." Orang soleh itu menjawab: "Tetapi, bukankah Allah mengetahuinya?"

Selagi Allah masih melihat dan mengetahui kebaikan yang anda lakukan, serta mengetahui keutamaan yang anda hulurkan maka janganlah mengharap pujian dari orang lain.


[Di petik dari buku :  'La' Tahzan - Jangan Bersedih' | Dr.'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni]

P/s: Tidak di 'edit'. Harap Maklum.


No comments: