Wednesday, September 11, 2013

Jangan Pecahkan Jiwamu....Berbahagialah!



Seorang perempuan tua tengah asyik membersihkan ruang tamu rumahnya, dengan usia yang menjangkau tua, tangannya agak mengigil semasa bekerja. Tanpa sengaja dia telah menjatuhkan sebuah pasu bunga yang cantik dan mahal. Pasu itu jatuh dan pecah berserakan. Cuba bayangkan sekiranya hal demikian terjadi pada diri anda atau orang lain, mungkin akan menyusul perasaan menyesal yang mendalam, atau perasaan sedih dan kecewa. Jika benda itu sangat mahal dan merupakan barang kesayangan anda, mungkin anda akan memikirkannya sepanjang hari dan hilang mood untuk melakukan aktiviti lain. Dari masa ke semasa anda menyalahkan diri sendiri kerana bertindak kelam-kabut dan tidak berhati-hati. Bahkan mungkin anda mengutuk diri sendiri kerana kejadian itu.

Sedangkan perempuan tua tadi memang merasa tersentak dengan jatuhnya pasu tersebut. Dia sangat sayang dan mengetahui harganya yang mahal, tetapi bukannya dia sedih malah tertawa. Dia menatap pecahan pasu bunga yang berserakan dilantai itu lalu tersenyum sambil berkata, "Alhamdulillah, ternyata kamu yang meninggalkan saya terlebih dulu, bukan saya yang tinggalkan kamu lebih awal."

Apa yang diucapkannya satu kebenaran yang sederhana. Sangat sederhana, sehingga kita sering melupakannya. Benda yang indah itu memang sudah hancur dan pergi meninggalkan kita, tetapi bukankah kita sendiri masih sihat dan belum meninggal dunia. Mengapa harus sedih berlebihan kerana kehilangan sesuatu benda? Cuba lihat dari sudut pandang yang berbeza kerana itulah ingat baik-baik pengajaran ini. Kalau ada barang anda yang pecah atau rosak, relakan saja. Jangan merasa sedih secara berlebihan. Cukuplah benda itu saja yang pecah, jangan pecahkan jiwa anda sendiri dengan penyesalan yang tidak pada tempatnya.

[Petikan dari buku : BILA ALLAH MENDUGA KITA| Syed Alwi Al Atas]

No comments: